Tuntutan Sabah

  Wilayah yang dinyatakan dalam Perjanjian 1878 - Dari Sungai Pandasan di Barat Laut sehingga ke Sungai Sebuku di selatan.[1]

Pertikaian Sabah, tuntutan [ke atas] Sabah (Sabah dispute) ataupun tuntutan [ke atas] Borneo Utara (bahasa Inggeris: North Borneo dispute) merujuk kepada tuntutan ke atas bahagian timur laut Sabah di Malaysia oleh Filipina. Sabah sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Pihak Filipina yang menggelar dirinya sebagai entiti penyambung kepada Kesultanan Sulu menegaskan bahawa timur Sabah sepatutnya termasuk dalam wilayah negaranya, atas alasan bahawa wilayah itu hanya disewakan kepada Syarikat Borneo Utara British pada kurun ke-19 dan selanjutnya tidak pernah melepaskan hak kedaulatan Sulu itu.[2] Walau bagaimanapun, pertikaian terhadap Sabah dilihat semakin sepi dan tidak dibangkitkan secara serius oleh pemerintah Filipina lagi. Sementara itu, pihak Malaysia tidak menganggap pertikaian ini suatu permasalahan besar kerana menganggap bahawa kandungan perjanjian yang dipersetujui pada 1878 itu adalah berbentuk penyerahan wilayah.[3] Bahkan, Malaysia juga menegaskan bahawa rakyat wilayah Sabah termasuk pantai timurnya telah menunaikan hak menentukan kedaulatan dan status politik sendiri dengan memilih untuk bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.[4]

  1. ^ "British North Borneo company charter (page 4)". OpenLibrary.org. 1878. Dicapai pada 16 Mac 2013.
  2. ^ "Philippines - The World Factbook". www.cia.gov. Dicapai pada 2021-02-02.
  3. ^ Campbell, Charlie (2013-02-26). "Sabah Standoff: Diplomatic Drama After Filipino Militants Storm Malaysia". Time (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0040-781X. Dicapai pada 2021-02-02.
  4. ^ Gould, James Warren. (1969). The United States and Malaysia. Cambridge, Mass.: Harvard University Press. m/s. 106. ISBN 0-674-92615-3. OCLC 44871.

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search